Pages

Tuesday 26 November 2013

3 FAKTOR KEJAYAAN DAKWAH IKHWANUL MUSLIMIN

Ikhwan Muslimin terbukti sebagai satu gerakan Islam yang mempunyai pengaruh besar terhadap dunia Islam. Gerakan ini diasaskan oleh Hasan al-Banna pada tahun 1928, seorang murabbi dakwah yang membina kelompok manusia untuk menegakkan agama Islam di muka bumi.
Gerakan Ikhwan Muslimin telah tersebar lebih 70 buah negara. Pengikut-pengikut ikhwan di seluruh negara juga mempunyai pelbagai jenis. Secara ringkasnya, pengikut dan pendokong ikhwan terbahagi kepada 2 jenis;

1) Organisasi yang menggunakan nama, manhaj, dan praktik Ikhwan Muslimin. Mereka juga menggunakan nama yang sama. Mereka juga mempunyai hubungan rasmi dengan Ikhwan Muslimin yang berpusat di Mesir.

2) Organisasi yang menggunakan manhaj Ikhwan Muslimin dan tidak mempunyai hubungan langsung dengan Ikhwan Muslimin. Organisasi ini mengambil manfaat dari risalah, pemikiran dan idea Ikhwan Muslimin dan beramal melalui ijtihad dan pelaksanaan mereka sendiri.

Tidak dapat dinafikan, gerakan Ikhwan Muslimin berjaya melakukan perubahan besar dalam landskap perjuangan Islam di dunia dari sejak jatuhnya Khilafah Uthmaniah, zaman Imperalisme Barat,zaman kemerdekaan negara-negara Islam hingga ke zaman kemajuan pada awal abad ke-21.
Sebagai contoh, pada waktu jatuhnya Khilafah Uthmaniah, Hasan al-Banna mengemukakan idea dan menggerakkan massa untuk mengembalikan khilafah yang jatuh. Hanya 4 tahun selepas jatuhnya Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924, Hasan al-Banna lantas mengejutkan umat Islam yang lena dan lalai supaya bangkit mengembalikan khilafah. Sesungguhnya, Khilafah Uthmaniah jatuh dan ranap tanpa disedari oleh umat Islam malah tidakpun diratapi kehilangannya. Kekusutan, kejumudan, perpecahan dan sikap saling tuduh menuduh serta hilang kepercayaan, menyelubungi dunia Islam pada waktu itu. Alangkah sedihnya.
Namun, dunia menyaksikan kebangkitan Islam daripada kejatuhannya, hinggalah pada awal abad ke-21, dunia Islam mempunyai pejuangnya di serata dunia. Biarpun mereka berjuang atas nama individu dan pelbagai nama organisasi, namun tidak dapat dinafikan, kesan pengaruh Ikhwan Muslimin begitu kuat ke atas mereka.
Terdapat 3 ciri dakwah Ikhwan Muslimin yang menyebabkan pengaruh mereka ke atas umat Islam begitu mendalam. 3 ciri itu ialah ta’sis, tawrith, dan tarbiyyah.

1) Ta’sis – proses membina batu asas dakwah iaitu penggerak. Sesungguhnya yang paling penting bagi satu pergerakan adalah individu penggeraknya. Kerana itulah Hasan al Banna mengatakan dengan yakin, “bahawasanya aku menulis manusia”. Benar dan tepat. Menulis buku tidak membina manusia, tapi alat bantu membina manusia. Sesungguhnya manusialah yang membina manusia, dan manusialah yang menulis buku. Jadi penekanan perlu diberikan kepada menulis manusia daripada menulis buku.

2) Tawrith – pewarisan kefahaman fikrah, objektif, tujuan, hadaf, manhaj yang berlaku dengan baik kepada generasi pelapis. Pengasas Ikhwan Muslimin, Hasan al Banna merupakan seorang yang pandai berucap dan menawan hati manusia dan sahabat di sekelilingnya. Ayat-ayatnya dan kata-katanya mudah difahami. Hasan al Banna selalu menggunakan kata-kata yang mudah dan mesej ringkas yang senang difahami, dicerna, dan dilaksanakan. Risalahnya yang boleh telah dikumpul dalam Majmuk ar-Rasa’il, begitu tersusun dan senang untuk dibaca. Namun begitu, kadangkala Hasan al Banna menggunakan kata-kata yang mendalam maknanya, namun itulah perkataan yang sesuai untuk menyatakan apa yang beliau mahu sampaikan.

3) Tarbiyyah- proses pendidikan merupakan tunjang amal Ikhwan Muslimin. Proses tarbiyyah yang tersusun dan bersilibus lengkap untuk ahli-ahli dan pendokong amalnya. Ikhwan juga mengambil prinsip mentarbiyyah masyarakat, bukan hanya mempengaruhi seperti mana organisasi lain. Oleh itu, amal ikhwan di peringkat masyarakat tertumpu pada pendidikan asas Islam bagi seorang Muslim, dan penzahiran seorang Muslim yang boleh menjadi contoh masyarakat.

Adapun penggabungan ketiga-tiga aspek ini, merupakan rahsia keberadaan Ikhwan Muslimin dalam masyarakat Muslim di seluruh dunia. Insya Allah perjuangan Ikhwan Muslimin mampu mencapai matlamatnya iaitu menjadikan Islam sebagai ustaziatul ‘alam.


No comments:

Post a Comment